Thursday, June 17, 2010

SPIDERS



Pembaca budiman, untuk post kali ini saya bercadang untuk berkongsi dengan anda berkaitan SPIDERS.

SPIDERS ni saya dapat semasa belajar di sekolah menengah satu ketika dahulu. Kami diingatkan supaya berhati-hati dengan SPIDERS.

Apakah SPIDERS?

SPIDERS adalah satu strategi musuh Islam untuk menghancurkan umat Islam secara sembunyi. Ia adalah strategi saraf yang umat Islam tidak sedar.

Berikut adalah SPIDERS:

S- SEX

P- POLITIC

I- IDEOLOGY

D-DRUGS

E-ECONOMY

R-RELIGION

S-SONG




1-SEX:

Jika kita lihat sex sebelum nikah(zina) ini telah cuba dijadikan budaya dikalangan muda-mudi. Jika di barat, remaja yang tidak pernah melakukan sex dianggap ketinggalan. Budaya ini menular ke negara umat Islam. Buktinya sekarang ramai rakan kita yang telah terlibat dengan sex sebelum nikah.

Salah satu penyumbangnya bila budaya COUPLE itu satu kebanggaan. Saya ingin bertanya kepada anda, betul atau tidak boleh katakan semua remaja Islam di negara kita sudah mempunyai couple masing-masing. Mana-mana pemuda pemudi yang tiada pasangan lagi dianggap jumud atau tidak laku. Ini adalah doktrin yang meresap kita.

cadangan penyelesaian: kita beri kefahaman dan doktrin semula masyarakat dan kawan-kawan kita, couple itu menjijikan dan haram.



2-POLITIC


Musuh Islam juga cuba menghancurkan kekuatan umat Islam dengan pecah dan perintah. Mereka melagakan sesama umat Islam. Akhirnya semua berebut kuasa. Negara jadi tidak stabil sedangkan mereka terus kuat.

Mereka caturkan penubuhan pelbagai parti-parti politik yang akan mencerai beraikan umat Islam. Sebagai contoh, seperti di Palestin mereka biar parti Fatah(bukan parti yang bertunjangkan Islam) berlaga dengan parti HAMAS(parti yang bertunjangkan Islam) bersilat dalam pilihanraya di Palestin. Mereka tahu, umat Islam akan kuat jika bernaung di bawah parti yang berjuang untuk Islam.Oleh itu, mereka galakkan tubuhnya parti-parti yang bukan berjuang untuk Islam.

Jika di Palestin ada parti yang berjuang untuk Islam( HAMAS) dan parti yang tidak berjuang untuk Islam (FATAH), bagaimana pula di Malaysia? Ada ke parti yang berjuang untuk Islam dan parti yang berjuang selain untuk Islam?

penyelesaian: sokong parti Islam la.


3-IDEOLOGY

Ideology adalah acuan pemikiran yang direka oleh manusia tanpa bersandarkan al-Quran dan Sunnah.

Contoh ideology- komunisme, nasionalisme, kapitalisme, sosialisme, sekularisme dan lain-lain lagi.

kalau nak tahu apa maksud setiap ideology yang saya nyatakan di atas, boleh rujuk naqib naqibah anda. Kalau dia tak tahu anda boleh google je kat internet atau baca buku.
Ideology akan melahirkan manusia yang berpemikiran syaitan. Dari segi luaran nampak dia adalah seperti seorang muslim, tetapi pemikirannya adalah seperti orang kafir. Inilah akibatnya apabila orang Islam diracuni pemikirannya dengan Ideology.

Sebagai contoh, bila umat Islam terkena ideology nasionalisme (pemikiran yang mengagungkan bangsa), mereka ini akan masih beramal dengan Islam, tetapi pemikirannya racist (perkauman).

Mereka akan perjuangkan bangsanya melebihi Islam. Bangsa lain tak penting. Asalkan bangsanya dapat survive. Walaupun bangsa lain itu ada yang beragama Islam. Ini bertentangan dengan apa yang Islam ajar. Islam larang kita dari asabiah (berpuak-puak/racist).
Bersatulah atas Islam.Hanya Islam dapat menyatukan umat manusia. Kita tidak dapat memelayukan Cina, kita tidak dapat memelayukan India, kita tidak dapat memelayukan negro, tapi apa yang kita boleh buat kita boleh mengislamkan Cina, india dan negro.
Bukankah kita jadi sesuatu bangsa itu kebetulan sahaja? sebagai contoh, saya lahir dari seorang ibu yang berbangsa Melayu, jadi saya pun Melayulah. Menjadi Melayu bukannya dapat 'markah lebih' untuk masuk syurga pun. Jadi mengapa fanatik sangat dengan Melayu? Yang betulnya Islam!

Nabi dah buktikan Islam menyatukan semua. Contoh, bilal (orang kulit hitam), Abu Bakar(orang arab) dan salman Al-farsi (orang parsi) boleh bersatu bersama kerana mereka semua Islam.


cadangan Penyelesaian: study semua ideology yang ada dan check kita terpengaruh ke tak dengan ideology tersebut.


-oklah saya pause kat IDEOLOGY dulu.Insyallah dalam post akan datang saya sambung lagi deh!




tengok surah Al-Baqarah : 120

penulisan ini adalah drpd blog ehsanhalim.blogspot.com

Wednesday, June 2, 2010

kisah alqamah,,,atau dongengan?sahih/maudhu'?

Setiap kali sambutan Hari Ibu, seringkali kedengaran samada di radio atau televisyen satu kisah yang sangat masyhur, iaitu kisah Alqamah dan ibunya. Tidak ketinggalan pada tahun ini, dalam beberapa rancangan televisyen khasnya berbentuk keagamaan, kisah Alqamah dan ibunya turut menjadi bahan pengisian beberapa ustaz dan ustazah.

Ringkasan cerita Alqamah dan ibunya ialah, pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, ada seorang pemuda berada dalam keadaan nazak. Malangnya, beliau tidak mampu mengucapkan dua kalimah Syahadah, sekalipun telah berulangkali diajar dan dituturkan di telinganya. Kes ini diadukan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Ringkas ceritanya, baginda meminta ibu pemuda tersebut memaafkan dan meredhai terhadap anaknya, Alqamah. Selepas si ibu meredhai anaknya, Alqamah, barulah beliau dapat mengucapkan dua kalimah Syahadah dan sejurus selepas itu, beliau wafat.

Namun pernahkah kita berfikiran kritis, untuk mempersoalkan sejauh manakah kesahihan cerita masyhur ini, yang kita baca dan dengari sejak di bangku sekolah rendah lagi. Dari sumber manakah cerita ini datang, dan apakah penilaian para ulama Islam terhadap cerita ini, berdasarkan metodologi ahli hadis.

Sumber Cerita Alqamah dan Ibunya

Antara kitab hadis utama yang menyebut kisah ini ialah, Musnad Imam Ahmad bin Hanbal. Tetapi hanya disebut secara ringkas tanpa menyebut nama pemuda tersebut. Tersebut dalam Musnad Ahmad:

Berkata Abu Abdul Rahman (Anak Imam Ahmad): Pada awalnya terdapat dalam kitab ayahku (Imam Ahmad), hadis yang berbunyi: Telah meriwayatkan kepada kami oleh Yazid bin Harun, katanya: Telah meriwayatkan kepada kami oleh Faid bin Abdul Rahman, katanya: Aku mendengar Abdullah bin Abi Aufa berkata:

“Seorang lelaki datang menemui Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, lalu berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya di sini terdapat seorang pemuda yang sedang nazak. Diucapkan kepadanya Lailahaillallahu, beliau tidak mampu menyebutnya”. Baginda berkata, “Tidakkah ketika hidupnya, dia boleh menuturkannya?”. Kata lelaki itu, “Benar”. Baginda bertanya, “Apa yang menghalangnya daripada menyebutnya ketika hampir mati?”. Lalu beliau menyebut hadis itu secara panjang lebar.”

Kata Abu Abdul Rahman: Ayahku (Imam Ahmad) tidak meriwayatkan kepada kami hadis ini. Beliau memadamkan hadis ini dari kitabnya, kerana beliau tidak meredhai hadis Faid bin Abdul Rahman, kerana pada pendapatnya Faid bertaraf Matruk al-Hadis.
(Musnad Ahmad 32/155)

Maka jelas kepada kita walaupun kisah ini wujud dalam Musnad Ahmad, tetapi sebenarnya Imam Ahmad sendiri tidak menerima kesahihan hadis ini. Bahkan, beliau memadamkan hadis ini dari kitabnya.

Antara sumber lain yang menyebut kisah ini ialah:

- Al-Dhuafa al-Kabir oleh al-Uqaili
- Al-Maudhu’aat oleh Ibn al-Jauzi
- Masawi al-Akhlaq oleh al-Kharaiti
- Syuab al-Iman oleh al-Baihaqi
- Dalail al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi
- Al-Tadwin Fi Tarikh Qazwin oleh al-Qazwini

Kesemua sumber-sumber tersebut menyebut kisah ini melalui jalur yang terdapat perawi bernama Faid bin Abdul Rahman. Justeru, penilaian hadis ini mesti melalui kajian kedudukan perawi bernama Faid bin Abdul Rahman, adakah beliau perawi yang kepercayaan dan menepati kriteria perawi hadis sahih, atau sebaliknya.

Rata-rata ulama hadis yang mahir dalam bidang Jarh wa Ta’dil (ilmu penilaian terhadap perawi), menilai Faid bin Abdul Rahman sebagai dhaif. Antara mereka ialah Imam Ahmad, Imam Bukhari, Ibn Maien, Abu Hatim, Ibn Hibban, al-Hakim, dan lain-lain.

Apatah lagi, kisah ini diriwayatkan oleh Faid bin Abdul Rahman daripada Ibn Abi Aufa. Dan ulama hadis lebih mencurigai hadis-hadis Faid yang diriwayatkan daripada Ibn Abi Aufa.

Kata Abu Hatim, “Hadis-hadis Faid daripada Ibn Abi Aufa adalah batil, hampir-hampir tidak ada asal baginya”. Katanya lagi, “Kalau seseorang bersumpah bahawa seluruh hadis Faid adalah bohong, maka dia tidak dianggap melanggar sumpah”.

Al-Hakim pula mengatakan, “Faid meriwayatkan daripada Ibn Abi Aufa hadis-hadis palsu”.

Penilaian Ahli Hadis Terhadap Kisah Ini

Kisah ini didhaifkan oleh ramai ahli hadis, antara mereka:

- Imam Ahmad, sebagaimana disebut oleh anaknya.

- Al-Uqaili di dalam al-Dhuafa al-Kabir. Katanya, “Tidak ada mutabaah untuknya kecuali dari perawi yang sama taraf dengannya”.

- Al-Baihaqi dalam Syuab al-Iman. Kata beliau, “Diriwayatkan secara berseorangan oleh Faid Abu al-Warqa’, dan beliau perawi yang tidak kuat”.

- Ibn al-Jauzi memasukkan hadis ini dalam bukunya al-Maudhu’aat, dan membuat komen, “Tidak sahih daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam”.

- Al-Zahabi dalam kitabya Tartib al-Maudhu’aat.

- Al-Haithami dalam Majmak al-Zawaid. Beliau berkata, “Padanya terdapat Faid Abu al-Warqa’, seorang yang bertaraf Matruk”.

- Al-Syaukani dalam Al-Fawaid al-Majmuah. Kata beliau, “Dalam sanadnya terdapat perawi yang berstatus Matruk dan Pembohong”.

Penilaian kisah ini disebut secara terperinci oleh Syeikh Masyhur bin Hasan Ali Salman dalam kitabnya ‘Qishas La Tatsbut.

Kesimpulan

- Berdasarkan kajian ulama hadis terhadap hadis ini, didapati bahawa hadis yang mengisahkan cerita Alqamah dan ibunya adalah DHAIF.

- Di samping kedhaifan kisah ini, tidak ada dalam mana-mana riwayat pun menyebut bahawa pemuda berkenaan bernama Alqamah.

- Oleh kerana kisah ini tidak sahih, dan kisah ini ada kaitan langsung dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maka tidak harus disebarkan cerita ini tanpa dijelaskan kedhaifannya.

- Para penulis, penceramah, panel-panel syarahan digalakkan membawakan cerita yang lebih sahih tentang kewajipan berbuat baik terhadap ibu. Dan Alhamdulillah, di dalam Al-Quran dan Sunnah yang sahih, banyak kedapatan dalil dan contoh yang boleh menggantikan kisah Alqamah.