Setiap kali sambutan Hari Ibu, seringkali kedengaran samada di radio atau televisyen satu kisah yang sangat masyhur, iaitu kisah Alqamah dan ibunya. Tidak ketinggalan pada tahun ini, dalam beberapa rancangan televisyen khasnya berbentuk keagamaan, kisah Alqamah dan ibunya turut menjadi bahan pengisian beberapa ustaz dan ustazah.
Ringkasan cerita Alqamah dan ibunya ialah, pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, ada seorang pemuda berada dalam keadaan nazak. Malangnya, beliau tidak mampu mengucapkan dua kalimah Syahadah, sekalipun telah berulangkali diajar dan dituturkan di telinganya. Kes ini diadukan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Ringkas ceritanya, baginda meminta ibu pemuda tersebut memaafkan dan meredhai terhadap anaknya, Alqamah. Selepas si ibu meredhai anaknya, Alqamah, barulah beliau dapat mengucapkan dua kalimah Syahadah dan sejurus selepas itu, beliau wafat.
Namun pernahkah kita berfikiran kritis, untuk mempersoalkan sejauh manakah kesahihan cerita masyhur ini, yang kita baca dan dengari sejak di bangku sekolah rendah lagi. Dari sumber manakah cerita ini datang, dan apakah penilaian para ulama Islam terhadap cerita ini, berdasarkan metodologi ahli hadis.
Sumber Cerita Alqamah dan Ibunya
Antara kitab hadis utama yang menyebut kisah ini ialah, Musnad Imam Ahmad bin Hanbal. Tetapi hanya disebut secara ringkas tanpa menyebut nama pemuda tersebut. Tersebut dalam Musnad Ahmad:
Berkata Abu Abdul Rahman (Anak Imam Ahmad): Pada awalnya terdapat dalam kitab ayahku (Imam Ahmad), hadis yang berbunyi: Telah meriwayatkan kepada kami oleh Yazid bin Harun, katanya: Telah meriwayatkan kepada kami oleh Faid bin Abdul Rahman, katanya: Aku mendengar Abdullah bin Abi Aufa berkata:
“Seorang lelaki datang menemui Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, lalu berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya di sini terdapat seorang pemuda yang sedang nazak. Diucapkan kepadanya Lailahaillallahu, beliau tidak mampu menyebutnya”. Baginda berkata, “Tidakkah ketika hidupnya, dia boleh menuturkannya?”. Kata lelaki itu, “Benar”. Baginda bertanya, “Apa yang menghalangnya daripada menyebutnya ketika hampir mati?”. Lalu beliau menyebut hadis itu secara panjang lebar.”
Kata Abu Abdul Rahman: Ayahku (Imam Ahmad) tidak meriwayatkan kepada kami hadis ini. Beliau memadamkan hadis ini dari kitabnya, kerana beliau tidak meredhai hadis Faid bin Abdul Rahman, kerana pada pendapatnya Faid bertaraf Matruk al-Hadis.
(Musnad Ahmad 32/155)
Maka jelas kepada kita walaupun kisah ini wujud dalam Musnad Ahmad, tetapi sebenarnya Imam Ahmad sendiri tidak menerima kesahihan hadis ini. Bahkan, beliau memadamkan hadis ini dari kitabnya.
Antara sumber lain yang menyebut kisah ini ialah:
- Al-Dhuafa al-Kabir oleh al-Uqaili
- Al-Maudhu’aat oleh Ibn al-Jauzi
- Masawi al-Akhlaq oleh al-Kharaiti
- Syuab al-Iman oleh al-Baihaqi
- Dalail al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi
- Al-Tadwin Fi Tarikh Qazwin oleh al-Qazwini
Kesemua sumber-sumber tersebut menyebut kisah ini melalui jalur yang terdapat perawi bernama Faid bin Abdul Rahman. Justeru, penilaian hadis ini mesti melalui kajian kedudukan perawi bernama Faid bin Abdul Rahman, adakah beliau perawi yang kepercayaan dan menepati kriteria perawi hadis sahih, atau sebaliknya.
Rata-rata ulama hadis yang mahir dalam bidang Jarh wa Ta’dil (ilmu penilaian terhadap perawi), menilai Faid bin Abdul Rahman sebagai dhaif. Antara mereka ialah Imam Ahmad, Imam Bukhari, Ibn Maien, Abu Hatim, Ibn Hibban, al-Hakim, dan lain-lain.
Apatah lagi, kisah ini diriwayatkan oleh Faid bin Abdul Rahman daripada Ibn Abi Aufa. Dan ulama hadis lebih mencurigai hadis-hadis Faid yang diriwayatkan daripada Ibn Abi Aufa.
Kata Abu Hatim, “Hadis-hadis Faid daripada Ibn Abi Aufa adalah batil, hampir-hampir tidak ada asal baginya”. Katanya lagi, “Kalau seseorang bersumpah bahawa seluruh hadis Faid adalah bohong, maka dia tidak dianggap melanggar sumpah”.
Al-Hakim pula mengatakan, “Faid meriwayatkan daripada Ibn Abi Aufa hadis-hadis palsu”.
Penilaian Ahli Hadis Terhadap Kisah Ini
Kisah ini didhaifkan oleh ramai ahli hadis, antara mereka:
- Imam Ahmad, sebagaimana disebut oleh anaknya.
- Al-Uqaili di dalam al-Dhuafa al-Kabir. Katanya, “Tidak ada mutabaah untuknya kecuali dari perawi yang sama taraf dengannya”.
- Al-Baihaqi dalam Syuab al-Iman. Kata beliau, “Diriwayatkan secara berseorangan oleh Faid Abu al-Warqa’, dan beliau perawi yang tidak kuat”.
- Ibn al-Jauzi memasukkan hadis ini dalam bukunya al-Maudhu’aat, dan membuat komen, “Tidak sahih daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam”.
- Al-Zahabi dalam kitabya Tartib al-Maudhu’aat.
- Al-Haithami dalam Majmak al-Zawaid. Beliau berkata, “Padanya terdapat Faid Abu al-Warqa’, seorang yang bertaraf Matruk”.
- Al-Syaukani dalam Al-Fawaid al-Majmuah. Kata beliau, “Dalam sanadnya terdapat perawi yang berstatus Matruk dan Pembohong”.
Penilaian kisah ini disebut secara terperinci oleh Syeikh Masyhur bin Hasan Ali Salman dalam kitabnya ‘Qishas La Tatsbut.
Kesimpulan
- Berdasarkan kajian ulama hadis terhadap hadis ini, didapati bahawa hadis yang mengisahkan cerita Alqamah dan ibunya adalah DHAIF.
- Di samping kedhaifan kisah ini, tidak ada dalam mana-mana riwayat pun menyebut bahawa pemuda berkenaan bernama Alqamah.
- Oleh kerana kisah ini tidak sahih, dan kisah ini ada kaitan langsung dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maka tidak harus disebarkan cerita ini tanpa dijelaskan kedhaifannya.
- Para penulis, penceramah, panel-panel syarahan digalakkan membawakan cerita yang lebih sahih tentang kewajipan berbuat baik terhadap ibu. Dan Alhamdulillah, di dalam Al-Quran dan Sunnah yang sahih, banyak kedapatan dalil dan contoh yang boleh menggantikan kisah Alqamah.
1 comment:
The pics in your posts are very cute so is your blog .. I wish I could understand Indonesian :)
Post a Comment